NABI
LUT
Ketika Nabi
Ibrahim meninggalkan Mesir, menuju Palestin, turut serta pula anak saudaranya,
iaitu Nabi Lut. Tetapi tak lama kemudian, desakan penghidupan memaksa kedua dua
Nabi ini berpisah. Nabi Lut lalu menetap di sebuah dusun yang bernama Sadum, di
kawasan Palestin juga.
Adapun penduduk
kampung itu luarbiasa nakal dan rosak perangainya. Mereka berlumba lumba
mengerjakan kejahatan, segala rupa kejahatan: merompak, membunuh teman sendiri,
menganiaya sesama manusia, sehingga tidak seorang pun orang dari tempat lain
yang dapat lalu di situ, melainkan di rompak mereka.
Salah satu kebiasaan
yang paling busuk yang menjadi adat dan kebiasaan hidup mereka, ialah bahawa
suka mengerjakan pekerjaan yang hina, iaitu melepaskan syahwat terhadap orang
lelaki, sedangkan terhadap perempuan tidak ada sedikitpun tertarik .
Bertentangan
dengan tabii alam yang biasa, dimana kaum lelaki dengan segala kepandaian dan
kekuatan merebutkan perempuan cantik untuk dijadikan isteri, tetapi mereka ini
tidaklah tertarik sedikit juga hatinya terhadap kaum wanita yang bagaimanapun
juga cantik dan moleknya, yang mereka rebutkan, sampai dengan menghabiskan
harta dan menumpahkan darah, ialah orang orang lelaki sendiri lebih lagi pemuda
pemuda yang gagah dan kacak, untuk di jadikan teman hidup dan pelepas hawa
nafsu mereka.
Jika ada pemuda
yang lalu di kampung mereka, pasti pemuda itu mereka goda dan jadi perebutan, kadang kadang sampai dengan menumpahkan
darah, antara satu sama yang lain.
Dapatlah
digambarkan, bagaimana buruk dan celakanya nasib wanita di saat itu. Tidak ada
orang suka kepada mereka, tidak ada yang menghiraukan. Mereka terpaksa
mengerjakan hal hal yang tak layak pula dengan sesama wanita sendiri untuk
sekadar menghilangkan nafsu berahi mereka sebagai wanita. Kerusakan masyarakat
sungguh hebat dan merata di seluruh pelusuk dan lapisan.
Demikianlah
hidup mereka puluhan tahun lamanya. Kejahatan itu bukan semakin berkurang,
sebab tidak seorang juga di antara mereka yang mahu menurutkan nasihat orang
lain. Bahkan kejahatan itu semakin menjadi jadi, sehingga keluar dari batas
perikemanusiaan samasekali.
Terhadap kaum
yang begitu, akhirnya Allah menurunkan perintah kepada Nabi Lut dengan
perantaraan wahyuNya. Perintah untuk membimbing kaum yang sesat kepada
menyembah Allah, menjauhi segala kejahatan, menghentikan semua kemungkaran yang
sudah menjadi tabiat dan adat mereka itu.
Tetapi, semua
ajaran dan peringatan Nabi Lut itu tidak dapat masuk dalam telinga dan hati
mereka. Kejahatan mereka lakukan terus, bahkan semakin hebat dan hebat juga.
Nabi Lut dengan tabah tak bosannya memberikan nasihat nasihat dan pengajaran
kepada mereka, diingati dengan ancaman azab Allah. Tetapi semua itu mereka
permudahkan malah mereka ejek saja.
Akhirnya Nabi
Lut mendoa ke hadhrat Allah, minta agar kaumnya yang sesat itu ditunjukan jalan
yang benar. Dan kalau sudah terang-terang tidak dapat ditunjuki dan di ajar
samasekali lagi, Nabi Lut minta agar kepada mereka di turunkan ajaran yang
tidak berupakan nasihat dan kata-kata saja, tetapi di turunkan azab yang sensara dan ngerinya, agar dengan
azab itu mereka insaf kembali atau musnah samasekali. Sebab tidak ada gunanya
hidup mereka di muka bumi ini, selain dari menambah kerosakan dan kejahatan
saja.
Doa Nabi Lut ini
didengar dan dikabulkan Tuhan. Tuhan mengutus beberapa Malaikat untuk
menurunkan seksa terhadap kaumnya Nabi Lut yang derhaka dan tak mahu ditunjuki
itu. Malaikat itu mulanya turun dan singgah di rumah Nabi Ibrahim dengan berbentuk
manusia. Mula Nabi Ibrahim mengira yang Malaikat itu manusia biasa yang bertamu
ke rumahnya. Mereka di perlakukan Nabi Ibrahim sebagai tamu. Tetapi Malaikat-malaikat
itu menerangkan yang bahawa mereka adalah Malaikat yang di utus Allah ke kampung
Nabi Lut, untuk menurunkan seksa yang sehebat hebatnya terhadap mereka yang
engkar itu.
Alangkah
terperanjat Nabi Ibrahim mendengarkan seksa yang akan datang itu, dan meminta
kepada Malaikat-malaikat itu untuk menunda datangnya seksa itu, dengan harapan
mudah mudahan mereka kembali dari kejahatan mereka.
Tetapi dengan
tegas di jawab oleh Malaikat-malaikat yang datang itu, bahawa kepada mereka
sudah dikirim Nabi Lut untuk mengembalikan mereka dari kesesatannya. Sayang
mereka tidak mendengar ajakan Nabi Lut itu, sehingga semua usaha dan daya sudah
di kira cukup. Dan ditegaskan pula bahwa Nabi Lut serta orang-orang yang
percaya akan terlepas dari seksa itu. Sedang isteri Nabi Lut sendiri pun akan
turut pula merasakan seksa hebat itu, karena dia termasuk orang orang yang
engkar dan tidak menurutkan kebenaran Nabi Lut.
Malaikat-malaikat
itupun meninggalkan rumah Nabi Ibrahim, pergi menuju ke desa Sadum yang derhaka
itu dengan berbentuk manusia yang masih muda belia dengan wajah yang cantik kacak
dan menarik. Di tengah jalan Malaikat-malaikat
itu bertemu dengan seorang anak perempuan yang sedang mengambil air minum. Kepada
anak perempuan itu, Malaikat-malaikat itu minta supaya diperlakukan sebagai
tetamu di rumahnya. Anak perempuan itu menerangkan akan tabiat penduduk
kampungnya sendiri yang penuh dengan kejahatan, lebih-lebih kalau melihat dan
mengetahui akan lelaki yang berwajah cantik, pasti timbul perkosaan dan
pencemaran dengan segala cara yang keji. Maka sebelum menerima permintaan tetamu
yang terdiri dari dua orang pemuda yang cantik lagi kacak, anak perempuan ini
minta izin lebih dahulu kepada tetamunya untuk memberitahukan dan bermusyawarah
dengan bapanya.
Anak perempuan
itupun pulang ke rumahnya memberitahukan kepada bapanya dengan berkata: Ya
bapaku, di sana di pintu masuk ke kota ini, ada dua orang lelaki, yang belum
pernah saya lihat di kampung kita ini sebaik dan secantik kedua mereka itu.
Keduanya ingin bermalam di rumah kita. Tetapi saya takut kalau diketahui oleh
penduduk kampung kita ini, beradanya mereka di tempat kita ini.
Bapa ini adalah
Nabi Lut sendiri, sedang anak perempuan itu adalah anaknya Nabi Lut.
Alangkah
terkejutnya Nabi Lut mendengar khabar ini. Setelah bertanyakan akan keadaan
kedua orang itu, Nabi Lut memberikan nasihat kepada anaknya bagaimana cara
caranya agar tetamu itu tidak sampai diketahui oleh penduduk kampungnya.
Pada mula Nabi
Lut agak keberatan menerima kedua pemuda itu menjadi tetamu di rumahnya
sendiri, takut kalau-kalau diketahui orang ramai dan pasti akan mendatangkan
kecelakaan besar bagi tamu dan dirinya sendiri. Tetapi kerana rasa
perikemanusiaan, dia tidak sampai hati untuk menolak tetamu yang ingin
menumpang dan bermalam di rumahnya.
Akhirnya Nabi
Lut dengan diam dan sembunyi agar jangan dilihat orang, ingin berjumpa sendiri
dengan kedua pemuda yang bertamu itu.
Setelah bertemu,
lalu Nabi Lut menasihatkan supaya kedua pemuda itu berhati hati sekali, jangan
diketahui orang dan jangan sampai menumpang di rumah orang lain di desa itu,
agar jangan diperkosa dan menjadi mangsa nafsu dan kemesuman mereka. Nabi Lut
bersedia membawa mereka bermalam dan menjadi tetamu di rumahnya sendiri, tetapi
harus berhati hari benar.
Dengan rasa
khuatir dan waswas yang memuncak, tetamu itupun dibawanya pulang dengan diam dan
sembunyi. Tetapi malang baginya, dalam pada itu isteri Nabi Lut sendiri, telah
mengetahui akan kejadian ini dan telah menyiarkan kedatangan tetamu itu kepada
penduduk kampungnya.
Alangkah
terkejutnya Nabi Lut, setelah dia dan tetamu itu sampai di rumahnya sendiri,
penduduk kampungnya sudah berkerumun mengepung rumahnya, ingin mendapatkan
lelaki yang cantik yang menjadi tamu Nabi Lut itu untuk pelepas nafsu mereka
sebagai yang diterangkan di atas tadi.
Tidak ada lain bagi
Nabi Lut untuk menghindarkan kemesuman yang akan terjadi, selain memberi
nasihat kepada mereka sekali lagi, agar mereka kembali ke jalan yang henar,
meninggalkan pekerjaan yang keji dan mesum itu serta takut kepada seksaan Allah
yang mungkin datang.
Semua nasihat
Nabi Lut itu hanya melayang di udara, tidak satu pun yang dapat masuk dalam
telinga dan otak mereka. Malah di saat Nabi Lut memberi nasihat itupun
sebahagian mereka sudah bersiap untuk menyerbu merebutkan dua pemuda yang
menjadi tetamu Nabi Lut itu. Melihat keadaan yang genting itu, Nabi Lut dengan
segera menutup pintu rumahnya, serta menguncinya dari dalam, agar tidak seorang
pun dari mereka itu yang dapat masuk ke dalamnya.
Kembali Nabi Lut
menasihati mereka melalui sebuah jendela, agar mereka penduduk yang sesat itu
kembali kepada isteri mereka masing masing, yang sudah diajarkan halal bagi
mereka. Membuang adat yang kotor itu sejauh jauhnya, dan memperingatkan, bahawa
kalau mereka tak menurutkan nasihatnya akan datang seksa Tuhan yang hebatnya.
Nasihat Nabi Lut
ini mereka jawab dengan berkata: Hai Lut, kami tidak tertarik kepada anak anak
perempuan engkau, kami tidak hendak dan tak ingin terhadap perempuan, engkau
sudah tahu apa apa yang kami ingini itu.
Nafsu mereka
sudah tiba di puncak matahari dan perasaan mereka sudah tertutup oleh nafsu
yang memuncak itu, sehingga nasihat yang bagaimana juga pun hebatnya tidak akan
terdengar lagi oleh telinga mereka, tidak akan diterima lagi oleh akal mereka.
Mereka semakin mendesak memaksa masuk ke rumah Nabi Lut. Mereka masuk lantas
menyerbu terhadap tetamu yang dua orang itu, berebutan sebagai binatang buas.
Melihat hal yang
demikian itu, kedua orang tetamu itu, iaitu Malaikat malaikat yang diutus Tuhan
itupun berkata kepada Nabi Lut: Hai Lut, janganlah khuatir benar, kami ini
Malaikat yang diutus Allah untuk mengabulkan doa engkau dan melepaskan engkau
dari bahaya besar ini, mereka tidak dapat berbuat apa apa terhadap engkau dan
kami, mereka malah akan dapat dihancurkan. Barulah hilang ketakutan dan
kekhuatiran Nabi Lut.
Dengan sekilip
mata, Nabi Lut, anak perempuannya, dua Malaikat itu sendiri beserta orang- orang
yang beriman dengan Lut, dapat meloloskan diri dari kepungan kaum derhaka itu.
Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya diperintahkan Malaikat itu untuk meninggalkan
desa yang keparat itu, dan tidak dibolehkan membawa isterinya sendiri, karena
isterinya termasuk mereka yang akan menerima seksa. Seperginya Nabi Lut dan
sahabat sahabatnya, maka turunlah seksa Tuhan atas desa dan penduduk desa itu.
Mula mula sekali bergoncanglah bumi dengan sehebat hebatnya, sehingga runtuh
segala gubuk dan gunung, segala gedung gedung dan rumah rumah. lalu turun hujan
batu yang sehebat hebatnya. Sehingga dalam sekejap mata saja, datarlah kampung
itu dan lenyaplah semua penduduk yang jahat, engkar dan derhaka itu.
Firman Allah:
Kejadian itu adalah satu ayat Allah, tetapi banyak orang yang tidak percaya.
Sungguh hebat
dan mengerikan sekali siksa Tuhan yang ditimpakan kepada kaum Lut, kerana
kejahatan yang mereka lakukan adalah puncak segala kejahatan, iaitu yang
dinamai kemesuman, bahkan puncak dari segala perbuatan mesum. Pembunuhan,
perzinaan, perompakan semuanya itu adalah perbuatan mesum, perbuatan yang
menjatuhkan darjat manusia. Tetapi melepaskan nafsu berahi (sexual) antara
sesama lelaki atau sesama wanita, adalah lebih mesum dari semua kemesuman
kemesuman yang tersebut di atas ini. Binatang pun tak pernah melakukan
kemesuman semacam ini.
Bagaimanakah
jadinya masyarakat manusia kalau kemesuman seperti itu bermaharajalela dan
merata? Akibatnya ialah terhentinya keturunan, manusia akan lenyap dari
permukaan bumi. Bumi akan kosong dari makhluk yang bernama manusia. Bumi akan
didiami hanya oleh binatang binatang saja.
Ya, sampai
demikianlah jahatnya manusia berakal kalau dibiarkan, kalau tak mahu menurutkan
pimpinan Allah dengan perantaraan para Nabi dan RasulNya. Manusia akan kehilangan
rasa malu, bila meninggalkan pimpinan Allah dan RasulNya. Tanpa perasaan malu,
manusia akan menjadi lebib rendah daripada binatang yang tak punya akal.
Nabi Lut beserta
kedua orang puterinya beserta orang orang yang beriman dengannya dihindarkan
Allah dari seksa hebat itu, kerana mereka orang orang beiman. Tetapi isteri
Nabi Lut turut musnah kerana dia termasuk golongan orang orang yang kafir itu.
Tetapi sayang,
dalam Bible Perjanjian Lama, Kitab Kejadian 19, ayat 30 sampai 38, dicantumkan
cerita yang sangat menodai akan kesucian Nabi Lut dan kedua orang puterinya.
Tercantum disitu, bahawa kerana semua lelaki sudah musnah, sedang puteri itu
menginginkan turunan yang baik, lalu kedua puteri itu bersepakat untuk
memberikan minuman tuak yang memabukkan kepada Nabi Lut, agar Nabi Lut menjadi
mabuk (hilang akal atau kesedarannya). Di saat Nabi Lut kehilangan kesedaran
itu, lalu kedua puterinya itu mengajak bapanya sendiri iaitu Nabi Lut untuk
bersetubuh (Nauzu Billah), agar mendapatkan keturunan dari bapanya sendiri.
Alangkah kotor
dan jijiknya cerita yang demikian ini, tertulis dalam sebuah kitab yang mereka
anggap suci. Nabi Muhammad di utus membawa Kitab Suci al-Quran di antara lain
adalah untuk membersihkan nama dari setiap Nabi dan Rasul Allah, termasuk Nabi
Lut dan kedua puterinya itu.
Firman Allah
dalam al-Quran: Sesungguhnya Lut adalah seorang dari orang orang yang diutus.
Ertinya salah seorang Rasul dari Rasul-rasul Allah yang suci dan murni.
Tidaklah mungkin seorang Rasul Allah akan minum tuak yang haram dan terlarang,
akan mabuk hilang akal dan kesedaran, apalagi akan berbuat mesum dengan
puterinya sendiri. Sungguh satu tuduhan palsu yang sangat maksum. Umat Islam
wajib membela nama dan kesucian Nabi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan